Wednesday, March 5, 2008

Meritokrasi rosakkan bangsa melayu - Prof DiRaja Ungku Aziz

Bukankah pada suatu masa Universiti Malaya menjadi pilihan utama dan hanya pelajar terbaik diterima?

Benar, pada suatu masa! Bagaimanapun yang mengacau perkara ini, sekurang-kurang ada dua pengaruh besar. Pertama, orang yang dipengaruhi birokrasi. Saya menubuhkan Pusat Asasi Sains yang hingga sekarang mengeluarkan kira-kira 20,000 orang. Dari sini, mereka memasuki Fakulti Perubatan, Kejuruteraan dan Sains. Ketika ditubuhkan, kita sengaja mencari budak kampung yang tercicir dan tiada peluang memasuki universiti. Mereka menerima pelajaran istimewa, tetapi pada masa sama kalau tidak lulus untuk semester berikut, mereka balik kampung. Mereka bersaing dan dengan nisbah 1:20, pasti ada seseorang untuk membantu mereka. Mereka sentiasa dipujuk kerana budak Melayu ada macam-macam kerenah. Semangat mudah jatuh. Kita menjaga mereka dan hampir 98 peratus pelajar yang memasuki Pusat Asasi Sains hari ini adalah profesor dan pakar perubatan.Ketika mula menjadi Naib Canselor, saya perhatikan daripada 128 pelajar yang memasuki Fakulti Perubatan, nasib baik jika ada empat atau lima Melayu. Selepas tiga tahun, tinggal satu atau dua orang kerana ada yang terkandas. Kita buat keputusan dan saya sentiasa terhutang budi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat keputusan hanya mengambil Bumiputera untuk Pusat Asasi Sains. Sejak lima atau enam tahun lalu, ada pihak sabotaj Pusat Asasi Sains. Sekarang daripada 60 calon, mungkin tinggal 20 hingga 30 orang apabila diambil oleh pihak lain kerana birokrat dan ahli politik.Pelajar Melayu mesti ada pembimbing. Kalau biar saja budak Melayu, dia tidak dapat masuk universiti dan kalau masuk, dia hampa dan pelbagai masalah lain. Dia sentiasa perlu dikipas kerana cepat sejuk. Orang yang lemah mesti diberi tambahan.

Ini bermakna meritokrasi untuk kemasukan pelajar ke universiti belum boleh dilaksanakan di negara ini?

Tidak boleh! Meritokrasi merosakkan harapan orang Melayu ketika ini.Barangkali dalam tempoh 50 tahun akan datang, itu cerita lain. Kalau orang kata ini perkauman, saya tengok di Amerika Syarikat mereka menggunakan pendekatan ini. Orang kulit hitam diberi bantuan khas kerana lemah seperti daripada susunan masyarakat.Begitu juga di negara lain apabila memerlukan sistem yang menolong orang lemah hingga persaingan itu lebih kurang setanding. Masalah sekarang ialah tidak setanding.Kita mesti menerima bahawa orang Melayu dalam bidang pelajaran, ekonomi dan sosial ada masalah.Orang memang syok bercakap mengenai meritokrasi. Kemunculan istilah ini masih baru, lebih kurang 15 tahun lalu. Malangnya kebanyakan yang melakukan sabotaj bukan orang Cina, tetapi pemimpin Melayu sendiri. Semua dasar ini dibuat oleh orang Melayu.Kenapa kita gila menyokong dan tidak berfikir panjang. Kita fikir anak kita saja yang sekolah menengah pun dihantar ke England. Apabila balik ke tanah air, dia anak Tan Sri, dia boleh survive, tetapi anak kampung?Ini yang menjadi dasar Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan memberi peluang dan menolong orang lemah. Bagaimana kita hendak memberi peluang supaya mereka dapat memasuki yang di atas (universiti terbaik) dan bukan di bawah. Ini yang memerlukan bantuan.

Jika bukan kerana malas, apakah pula faktor menyebabkan pembangunan minda orang Melayu perlahan?

Pertama adalah faktor pemakanan yang berkait rapat dengan kemiskinan. Dalam Mapen (Majlis Perundingan Ekonomi Negara) II yang saya sendiri turut menulis, antara kelemahan Bumiputera ialah aspek pemakanan. Kalau pergi Kelantan, susun budak lelaki dan yang kalau perempuan dikatakan comel, seperti orang Jepun sebelum zaman PDII, kecil dan rendah.Adakah Tuhan menentukan orang Kelantan tidak boleh tinggi hingga enam kaki. Apalah punca keadaan ini? Kalau kajian dibuat, tetapi kerajaan tidak suka bercakap mengenai perkara ini, ambil 1,000 anak lelaki di Johor dan Selangor, berbanding Kedah, Kelantan dan Terengganu, sampel rawak menunjukkan secara umum budak dari Pantai Barat lebih tinggi. Di Jepun selepas PDII, Amerika Syarikat mengarahkan Jepun menukar kaedah pemakanan dengan memberi makanan percuma di sekolah. Di negara kita juga ada skim makanan percuma di sekolah, tetapi tidak dihubungkan dengan pertumbuhan fizikal. Mereka hanya dapat makanan percuma ketika di sekolah rendah, sedangkan rahsia pertumbuhan fizikal ialah pada tujuh tahun pertama akan menentukan sama ada gen seseorang budak hendak menjadi tinggi atau tergencat. Kedua, kemudahan Budak Melayu pada zaman dulu sama ada ibu bapa membuatkan permainan atau mereka membuat permainan sendiri, mempunyai pelbagai permainan yang sesuai dengan masyarakat Melayu. Sekarang kalau hendak alat permainan mesti beli di kedai dan alat permainan ini mahal. Kalau ada sembilan anak, jadi anak-anak duduk diam saja. Wanita pula tiada masa hendak bermain permainan dan sentiasa bekerja di rumah. Emak menyuruh anak perempuan buat itu dan ini. Jadi sejak kecil wujud pengaruh minda terbuka hendak belajar dan lebih bersaing kerana didesak. Orang ingat anak lelaki saja akan maju. Itu budaya Arab.Hari ini, hampir semua universiti, lebih 50 peratus (seharusnya 30-40 peratus wanita) dan ada yang hingga 60 peratus pelajar Melayu yang mencapai keputusan baik dalam peperiksaan adalah wanita. Wanita Melayu sangat berjaya dan di mana saja, sudah ramai wanita menjadi Ketua Setiausaha (KSU) dan Timbalan KSU. Inilah trend dalam tempoh 20 tahun lalu. Ini mengambil masa lama dan kita mesti bagi kejutan kepada lelaki.Bagaimanapun, ini satu masalah di universiti kerana kalau dibiarkan, pelajar wanita boleh meningkat hingga 70-80 peratus. Ada masalah sosial yang akan timbul. Timbul masalah bagi lelaki apabila jati diri menjadi lemah. Ini masalah yang sangat istimewa untuk orang Melayu. Kaum Cina, ini bukan masalah kerana budaya Cina menganggap lelaki akan naik. Wanita Cina akan naik tetapi tidak terlalu pantas. Bagi kebanyakan masyarakat India berpendidikan, wanita mempunyai peluang lebih baik berbanding wanita lain dan bukan terhadap lelaki.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails