Wawancara bersama Ungku Aziz mengenai RMK-9
Bagaimanakah mahu melaksanakan perubahan cita-cita dalam RMK-9 ini?
UNGKU AZIZ: Itulah yang menjadi cabarannya sekarang. Membuat janji, mudah tetapi melaksanakannya itu lebih penting. Saya berharap semua orang memahami apa yang dicita-citakan ini. Orang mesti sedar bahawa ini satu peluang yang terbaik untuk kita membasmikan kemiskinan.
Saya kata begitu kerana Abdullah diketahui seorang pemimpin yang jujur. Orang di sekelilingnya, itu cerita lain tetapi beliau sendiri sifatnya telah diketahui. Wataknya memang begitu. Saya kenal beliau sejak dari zaman mahasiswanya lagi. Beliau telah dibesarkan dengan pengaruh ayah dan datuknya yang warak tetapi bukan kuno.
Apakah yang boleh menggagalkan usaha-usaha perubahan ini?
UNGKU AZIZ: Abdullah sendiri pun hampir setiap hari atau setiap minggu sekarang, saya kira perkataan yang sesuai ialah, berleter kepada para pegawai kerajaan. Beliau nyata cukup tidak berpuas hati melihat budaya kerja birokrat yang tidak akan membantu usaha-usaha pembangunan ini.
Sekarang ini kita membawa orang dari Universiti Harvard untuk membetulkan sektor awam. Saya tidak tahu apakah yang boleh diberitahu oleh orang dari Harvard ini yang kita sendiri belum tahu? Kuncinya ialah bagaimana memberikan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya untuk kepentingan diri sendiri, atau rasuah dan penyelewengan.
Perkara yang paling utama ialah penyampaian. Kita ada idea yang baik dan sumber yang baik tetapi bagaimana hendak memastikan ia tidak diseleweng oleh birokrat atau korporat yang tidak jujur.
Bagaimana hendak selesaikan masalah rasuah ini?
UNGKU AZIZ: Orang Melayu mesti merasakan rasuah itu sebagai satu dosa. Tetapi masalahnya orang tidak lagi rasa berdosa sehingga ia menjadi lumrah dan orang tidak lagi sedar dia rasuah.
Kita harus menekankan bahawa rasuah itu satu dosa, baik penerima mahupun pemberi. Kalau ada rasa yang seperti itu, dalam hati nurani mereka akan timbul kesedaran untuk tidak melakukannya.
Orang Islam harus sedar bahawa setiap orang suatu hari pasti akan meninggal dunia. Selepas mati, orang yang berdosa akan masuk neraka. Apabila berhadapan dengan rasuah orang mesti ada kesedaran seperti ini. Tetapi orang sebaliknya percaya setelah rasuah mereka boleh menggandakan ibadah untuk menyeimbangkan pahala dan dosa.
Apa lagi yang perlu orang Melayu lakukan?
UNGKU AZIZ: Orang Melayu mesti kiasu sedikit. Mesti ada perasaan mahu berjaya, tidak kira apa juga halnya dan tidak pedulikan orang lain. Orang Melayu mesti mula berfikir mementingkan diri sendiri.
Bolehkah kita bentuk watak baru itu?
UNGKU AZIZ: Kita mesti ada pemimpin yang bersedia memimpin. Kita tidak mahu pemimpin seperti dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang berebut jawatan sesama mereka seperti ulat tahi. Mereka sepatutnya memimpin belia Melayu tetapi tengok apa yang berlaku. Teruk.
Bagaimana mahu mengatasi masalah sikap yang Pak Ungku sebutkan itu?
UNGKU AZIZ: Aspirasi orang muda khususnya lelaki bak kata orang Cina, chinya telah hilang. Tayarnya pancit, angin sudah keluar. Kita mesti betulkan kebocoran itu dan pam angin yang baru supaya dia boleh jalan lagi. Inilah yang harus diberikan perhatian sekarang – membina satu sikap baru.
Bagaimana?
UNGKU AZIZ: Tentunya bukan dengan syarahan dan ceramah. Kita mesti menunjukkan contoh, memberikan latihan dan paksa mereka buat. Orang Melayu mudah berubah dan memberikan respons yang lebih baik dengan paksaan berbanding pujuk rayu. Kalau kita pujuk-memujuk, nanti ada pelbagai alasan macam loyar buruk.
Mereka memerlukan orang yang boleh mengatakan: “Buat! Mari kita naik bot pergi ke laut dan bawa balik ikan besar.” Kita mesti paksa kalau kita mahu membetulkan perspektif orang Melayu. Kita mesti jelas tentang apa yang kita mahu mereka lakukan.
Kenapa kita mesti paksa?
UNGKU AZIZ: Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya adalah satu daripada kejayaan cara paksaan ini. Kita pilih anak desa untuk diberikan peluang, dan kita paksa mereka; kalau lulus baru boleh naik semester, kalau tidak balik kampung. Selepas lulus dua semester, mereka masuk ke fakulti perubatan atau kejuruteraan.
Kita boleh lihat kejayaan paksaan itu daripada senarai nama mereka yang pernah melalui Pusat Asasi Sains. Tetapi malangnya ia sekarang disabotaj sejak beberapa tahun lalu apabila kita memperkenalkan sistem meritokrasi. Kita sudah tersilap perkiraan. Kenapa kita bercakap tentang meritokrasi ketika orang Melayu itu sendiri sudah handicap?
Masuk saja ke universiti mereka sudah ketinggalan dari segi penguasaan bahasa, kemahiran belajar, badan yang tidak sihat dan sebagainya. Itu sebabnya kita memerlukan affirmative action, seperti yang dilakukan oleh banyak negara lain. Kenapa kita harus teragak-agak untuk melakukannya? Kita mesti jelas dan tegas.
Tetapi orang melihat ini tidak lagi sesuai, bersifat perkauman.
UNGKU AZIZ: Kita mesti jelas dan tegas kenapa kita harus menggantungkan meritokrasi sehinggalah ke satu masa yang sesuai, apabila ada keseimbangan. Sekarang ini keseimbangan itu tidak ada. Jurangnya masih besar. Apakah kita tidak mahu membetulkan keseimbangan itu ketika wanita menguasai universiti? Ini tidak seimbang dan akan menimbulkan masalah besar di kemudian hari.
Kita mesti hadapi ini dengan sikap yang jujur dan berani. Kita tidak boleh lagi segan. Kita mesti tegas dan berani mengatakan bahawa kita orang Melayu, dan kita mahu menakluk dunia. Kenapa harus segan? Kenapa malu mengaku Melayu dan mengatakan kita orang Malaysia. Kalau Melayu, Melayulah. Saya melihat ini adalah satu affirmative action, walaupun kita tidak menggunakan perkataan ajaib itu.
Harapan Pak Ungku?
UNGKU AZIZ: Saya anggap ini sebagai satu wake up call. Tetapi sama ada orang dengar dan selepas itu terus tertidur, hanya masa beberapa tahun akan datang ini yang boleh menentukan.
Kita misalnya harus memikirkan apakah kita mahu melahirkan usahawan yang benar-benar usahawan, atau usahawan yang setengah masak – sekerat usahawan, sekerat pentadbir seperti yang ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)?
Kita mesti melahirkan lebih banyak usahawan yang naik dan jatuh kerana mereka berani mengambil risiko. Keberanian itulah yang akan menentukan seseorang usahawan itu berjaya, atau kurang berjaya atau rugi tetapi mampu bangun semula. Kita tidak mahu usahawan yang kalau rugi menyerahkan masalah itu kepada kerajaan, dan bukan masalah mereka.
Kalau mahu jadi usahawan kita mesti kiasu. Kalau untung, untung. Kalau rugi, sanggup bangun semula.
No comments:
Post a Comment