Oleh Penulis Khas YaPEIM
PERMINTAAN seorang pelajar supaya Imam al-Ghazali memberi nasihat dalam bentuk tulisan supaya ia dijadikan panduan hidup, diberi maklum balas dalam bukunya Ayyuha al-Walad bahawa memberi nasihat itu mudah. Namun, timbul kesulitan daripada sudut orang yang mahu menerima nasihat itu.
Kenyataan Imam al-Ghazali itu menunjukkan tradisi dan budaya nasihat menasihati antara sesama manusia sesuatu yang mudah dipraktikkan. Setiap orang berhak menasihati orang lain dalam konteks memberi ajaran, petunjuk dan pengajaran yang baik. Malah, apabila seseorang mengesyorkan atau mengusulkan sesuatu yang baik juga boleh dikira sebagai agenda nasihat menasihati.
Islam meletakkan aktiviti nasihat menasihati sebagai lambang persaudaraan dan persahabatan sejati yang ditandai dengan dasar keimanan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara.” Surah al-Hujurat, ayat 10)
Malah, Nabi SAW pernah bersabda, daripada Anas yang bermaksud bahawa kesempurnaan iman seseorang itu terletak di atas prinsip persaudaraan sejati sehingga dia boleh mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.
Sehubungan itu juga, Nabi SAW pernah mengaitkan bahawa agama itu terdiri atas nasihat seperti sabda baginda yang bermaksud: “Agama itu nasihat. Sahabat bertanya: Untuk siapa (wahai Rasulullah)? Baginda menjawab: Bagi Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan pemimpin umat Islam dan seluruh umat Islam.”
Nasihat menasihati boleh berlaku dalam institusi keluarga, masyarakat dan negara. Nasihat Lukman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dirakamkan dalam surah Luqman ayat 13-19, mengandungi mesej pendidikan yang jelas kepada kita.
Nasihat itu memperlihatkan keprihatinan ayah terhadap anaknya dalam kehidupan. Ia meliputi aspek hubungan hamba dengan Pencipta-Nya dan hubungan sesama hamba.
Nabi dan Rasul dalam misi dakwah kepada kaum mereka juga menyampaikan nasihat supaya tunduk kepada kekuasaan yang agung dan mentauhidkan Allah. Nabi Nuh umpamanya yang didakwa sebagai sesat dan menyampaikan ajaran sesat memberitahu kaumnya, baginda adalah penyampai risalah dan amanah Allah serta pemberi nasihat dalam misi dakwahnya.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata: Wahai kamuku sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain-Nya, sesungguhnya (kalau kaum tidak menyembah Allah, aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat). Pemuka dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami memandang kamu berada dalam kesesatan yang nyata. Nuh menjawab: Hai kaumku, tidak ada padaku kesesatan sedikitpun tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku sampaikan kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui…” (Surah al-A`raf, ayat 59-64)
Begitu juga dengan Nabi Hud yang dituduh sebagai orang bodoh dan pendusta ketika berdakwah kepada kaumnya. Baginda menjawab bahawa baginda adalah utusan Allah yang mempunyai ciri bijak pandai, mempunyai peranan sebagai penyampai amanah Tuhan dan pemberi nasihat yang boleh dipercayai.
Ini dirakamkan oleh Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum ‘Aad saudara mereka, Hud. Dia berkata: Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?. Pemuka yang kafir dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami benar-benar memandang kau dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk dalam golongan orang yang berdusta. Hud berkata: Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku menyampaikan amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang terpercaya bagimu…” (Surah al-A`raf, ayat 65-68)