Dipetik dari Berita Harian Isnin(16 Jun 2008)
Graduan mesti cari keistimewaan diri selain daripada ijazah, diploma
SETIAP pertengahan tahun kita akan melihat kebanjiran mahasiswa yang menamatkan pengajian dari pusat pengajian tinggi. Data Jabatan Perangkaan mendapati 31,000 graduan masih menganggur pada akhir suku pertama tahun ini.
Menurut maklumat Kementerian Sumber Manusia pula, Malaysia mengeluarkan 60,000 graduan setiap tahun. Dilema yang membelenggu siswazah sudah pastilah untuk mencari pekerjaan. Ramai juga merungut kerana sukar mendapat kerja.
Persaingan berlaku di kalangan siswazah menganggur. Penulis ingin menarik perhatian pembaca terutama siswazah yang baru menamatkan pengajian mengenai kesukaran mendapatkan pekerjaan ini.
Mereka rasa bahawa apa yang mereka buat selama ini sudah terlalu bagus dan hebat. Mereka berasakan bahawa ijazah atau diploma yang mereka peroleh itu sudah terlalu besar untuk mengharungi dunia sebenar yang penuh dengan cabaran dan liku kehidupan.
Siswazah juga harus tahu bahawa institusi tempat mereka belajar bukanlah sebagai tiket untuk mereka mendahului pesaing lain bagi mendapat pekerjaan. Mereka yang keluar dari universiti tersohor negara contohnya merasakan mereka sudah cukup bagus berbanding dengan siswazah institusi kecil yang tidak terkenal.
Sebenarnya nama institusi pengajian tinggi yang mereka bawa hanya menyumbang sebahagian kecil saja daripada kejayaan mereka untuk mendapat pekerjaan. Sekiranya mereka tidak mempunyai keterampilan baik dan keistimewaan yang membezakan mereka daripada calon lain, mereka tetap tidak akan berjaya mendapat pekerjaan.
Keistimewaan inilah yang dikatakan sebagai 'nilai tambah'. Nilai tambah adalah keistimewaan tambahan yang dimiliki seseorang calon untuk membezakannya dengan calon lain. Keistimewaan ini penting dalam situasi apabila calon yang disenarai pendek mempunyai kelayakan akademik hampir sama.
Contohnya dalam satu temu duga, ada 10 calon mempunyai Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.5. Tetapi cuma satu kekosongan. Pada masa inilah keistimewaan lain dimiliki calon akan dinilai.
Kehidupan ketika di kampus bukan saja untuk mentelaah buku pelajaran semata-mata. Banyak aktiviti diadakan di kampus yang boleh digunakan sebagai tempat mencari nilai tambah atau keistimewaan sebagai bekalan untuk menempuh alam pekerjaan nanti.
Nilai tambah ini boleh diperoleh melalui beberapa cara, antaranya melalui kepemimpinan, keusahawanan, sukan, badan beruniform dan kemahiran atau ilmu dari segi kelangsungan hidup. Dengan menyertai persatuan atau kelab pelajar, akan dapat mengasah bakat kepemimpinan mereka.
Sebenarnya ramai berpendapat bahawa menyertai dan memimpin persatuan hanyalah untuk aktiviti di kampus dan ia tidak diperlukan di alam pekerjaan. Pendapat ini silap sama sekali. Jika kita menyertai aktiviti persatuan, contohnya mengendalikan seminar, menganjurkan kursus, mengadakan majlis makan malam, ia memberi satu pengalaman yang memang akan di bawa ke alam pekerjaan.
Jika kita bekerja di syarikat swasta contohnya, mereka mungkin akan mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman, majlis jamuan makan malam korporat tahunan atau hari keluarga. Kakitangan yang ada pengalaman akan diminta untuk mengendalikan semua ini.
Mereka yang sudah biasa dengan aktiviti seperti ini di kampus tidak akan berasa kekok untuk mengendalikan majlis seperti ini sewaktu di tempat kerja. Begitu juga kita menjadi pemimpin persatuan.
Mereka yang sudah biasa memimpin persatuan tidak akan menghadapi masalah untuk mengendalikan mesyuarat apabila mereka bekerja nanti dan tidak kekok untuk menguruskan pekerja bawahan kerana mereka sudah biasa menjadi presiden atau pengarah projek ketika di kampus dulu.
Kemahiran dalam kepemimpinan juga berkait rapat dengan kebolehan berkomunikasi. Mereka yang aktif dan biasa menjadi pengacara majlis ketika di kampus contohnya, akan mempunyai keyakinan untuk bercakap kerana mereka sudah biasa bercakap di khalayak ramai.
Sekarang ini banyak aktiviti bersifat keusahawanan dianjurkan di kampus. Program siswaniaga contohnya adalah program mengasah bakat keusahawanan di kalangan mahasiswa.
Menyertai program siswaniaga bukanlah bermaksud mereka mesti menjadi usahawan tetapi apa yang lebih penting, ciri seperti ketabahan, bijak mencari peluang, kreatif yang dipupuk ketika mereka menyertai program terbabit, akan berguna di alam pekerjaan mereka.
Nilai keusahawanan bukan hanya ada kepada usahawan, malah seseorang eksekutif yang mempunyai ciri usahawan akan dapat membawa organisasinya ke arah lebih baik, sesuai dengan nilai keusahawanan yang sentiasa ingin kepada perubahan dan perkembangan positif.
Selain itu, menyertai badan beruniform adalah sangat baik. Malah banyak syarikat korporat menggemari bakal pekerja mereka yang mempunyai latar belakang dalam badan beruniform. Ini kerana mereka yang biasa terbabit dengan badan beruniform sudah terdidik dengan disiplin terutama dari segi menepati masa.
Kebolehan dalam sukan sangat berharga kepada siswazah. Ini kerana banyak syarikat korporat menggunakan sukan untuk menaikkan lagi nama syarikat mereka. Contohnya TM yang mempunyai pasukan bolanya sendiri dan menyertai kejohanan bertaraf nasional di negara ini.
Aktiviti sukan juga selalunya digunakan sebagai medium sosial di dalam syarikat. Banyak syarikat, contohnya bank mengadakan perlawanan futsal antara cawangan sebagai aktiviti merapatkan hubungan antara cawangan mereka.
Cawangan yang memiliki ahli sukan berbakat ini sudah pasti boleh menaikkan nama cawangan mereka di dalam syarikat mereka sendiri. Ini menjadikan pekerja mempunyai bakat sukan sangat diminati oleh majikan.
Kemahiran kelangsungan hidup juga dapat memberi keistimewaan kepada seseorang calon temu duga. Banyak ilmu berkaitan kemahiran seperti ini boleh ditimba mahasiswa, antaranya ilmu pertolongan cemas, ilmu menyelamat, kemahiran bahasa isyarat dan banyak lagi adalah kemahiran yang boleh menarik perhatian majikan untuk mengambil seseorang siswazah bekerja di organisasi mereka.
Pengalaman penulis sebagai pensyarah, ramai di antara bekas pelajar memberi maklum balas baik terhadap aktiviti ko-kurikulum mereka ketika di kampus. Mereka memberitahu bahawa penemuduga lebih banyak bertanya kepada mengenai aktiviti kepemimpinan ketika di kampus berbanding dengan pengetahuan mengenai akademik.
Sebenarnya aktiviti kepemimpinan dan aktiviti lain selain akademik akan membentuk keyakinan diri kepada siswazah apabila mereka berada dalam sesuatu organisasi. Majikan tidak berminat kepada eksekutif yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidangnya tetapi tidak mempunyai keyakinan diri kerana tidak biasa berhubung dengan orang ramai.
Dunia korporat membabitkan perhubungan dengan banyak pihak dan sudah tentulah kemahiran perhubungan manusia sangat penting. Ini hanya dapat digilap sekiranya mahasiswa bergiat aktif dalam persatuan ketika di kampus.
Bukan bermaksud mendapat CGPA yang tinggi tidak penting. Tetapi pada sesetengah keadaan, CGPA sederhana yang disertakan dengan nilai tambah adalah lebih disukai majikan berbanding CGPA tinggi tanpa nilai tambah.
Tetapi harus diingat, CGPA yang tinggi dan mempunyai nilai tambah adalah yang terbaik. Ini bermakna jika dengan kelulusan tinggi ditambah dengan keistimewaan lain yang diperoleh seseorang pelajar, akan menjadikannya lebih berdaya saing dalam usaha mendapatkan pekerjaan.
Penulis ialah Pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan, Kolej Profesional Mara Melaka
No comments:
Post a Comment