Wednesday, June 18, 2008

Minggu suaikenal universiti perlu reformasi

Dipetik dari Berita harian-Selasa(17 Jun 2008)

AKHIR bulan ini, mahasiswa baru akan mendaftar di universiti tempatan. Suasana kampus yang agak sunyi selepas peperiksaan akhir pada April lalu, mula riuh dan sibuk kembali dengan kegiatan dan atur cara berkaitan sepanjang minggu suaikenal.

Mahasiswa baru didedahkan dengan dunia baru kampus yang belum pernah dialaminya sebelum ini. Pelbagai pendedahan alam kampus diharungi selama tiga atau empat tahun sebelum dianugerahkan segulung ijazah selepas berjaya menamatkan pengajian nanti.

Inilah matlamat utama seseorang mahasiswa yang mendaftar, iaitu berjaya menamatkan pengajian dan akan menerima segulung ijazah. Matlamat bangsa dan negara pula adalah melahirkan warga berjiwa terbuka dan minda kelas pertama.


Rencana ini cuba menyentuh apakah minggu suaikenal yang akan berlangsung di universiti nanti benar-benar bersifat minggu suaikenal yang bermatlamat memperkenalkan anggota barunya kepada alam baru kampus sebagai persediaan menghadapi perjuangan sebagai mahasiswa bagi pembentukan warga jiwa merdeka, terbuka dan minda kelas pertama.


Benarlah aktiviti dan program yang diatur itu benar-benar membawa satu bentuk persediaan bagi mahasiswa menempuh hidup baru sebagai mahasiswa yang sebenarnya? Atau minggu suaikenal dianjurkan itu hanya sebagai satu aktiviti tahunan yang 'ikut-ikut' tradisi tempatan tanpa matlamat jelas dan tepat bagi kebaikan mahasiswa baru menempuh alam baru kampus dengan jayanya?

Apakah aktiviti yang biasa dilakukan di universiti tempatan benar-benar menjadikan mahasiswa baru bersedia menempuh alam baru dunia kampus? Adakah ahli Jawatankuasa Minggu Orientasi benar-benar faham matlamat sebenar minggu orientasi?

Adakah pihak pentadbiran berkaitan sudah menyusun dan melakukan apa yang sepatutnya bagi menjadikan minggu suaikenal itu benar-benar berkesan dan bermanfaat? Soalan ini sengaja saya kemukakan supaya semua terbabit akan sama-sama memikirkan aktiviti yang benar-benar berguna.

Ini bagi membolehkan mahasiswa baru yang mengikut program minggu orientasi itu benar-benar menuju kepada mahasiswa bertaraf dunia dan percernaan minda kelas pertama, selaras matlamat sejagat peranan mahasiswa dalam pembangunan sesebuah negara bangsa.

Kita tidak mahu hanya sekadar mengadakan minggu suaikenal, tetapi kesan positifnya sangat kecil dan sasaran serta matlamat sebenar tidak tercapai. Pendedahan minda mahasiswa tidak berlaku dan masih lagi berada pada tahap lama ketika berada di sekolah menengah atau pusat matrikulasi.

Minda mahasiswa tidak mampu dibuka dan masih lagi bersifat pemikiran satu hala dengan tembok pemikiran lama yang belum runtuh dan terus kekal menguasai tindakan, pemikiran dan keputusan mahasiswa.

Persoalan inilah yang harus difikirkan bersama bagi semua pihak terbabit supaya selepas minggu suaikenal itu akan berlaku perubahan dan peningkatan minda, cara berfikir dan tindakan mahasiswa, berubah daripada sebelumnya.

Ini bukan bermakna berjaya berubah sepenuhnya (ini sukar berlaku dalam masa sesingkat satu atau dua minggu), tetapi yang penting hanyalah asas dan keterbukaan pemikiran warga kampus yang sepatutnya, bukannya fikiran tertutup dan bersifat satu hala dengan tembok pemikiran tradisi dan kolot yang masih menebal.

Sering kali berlaku dalam amalan minggu suaikenal di universiti tempatan adalah keadaan yang memaksa seseorang mahasiswa baru tidur lewat seolah-olah tidur lewat malam adalah satu daripada ciri penting mahasiswa universiti.

Atur cara ceramah dan seumpamanya akan berakhir biasanya pada jam sebelum 11 atau 12 malam. Tetapi apa yang biasa berlaku adalah dalam waktu berakhirnya aktiviti rasmi dan waktu tidur itu ada selingan tertentu yang dilakukan pihak jawatankuasa minggu suaikenal menjadikan waktu tidur sebenarnya melewati jam 12 atau 1 pagi, malah lebih lewat lagi.

Berdasarkan beberapa pengalaman dan pemerhatian, tidur lewat seolah-olah satu perkara penting ditekankan jawatankuasa itu dalam menjalani kehidupan sebagai mahasiswa. Tidur lewat seolah-olah satu kemestian di universiti, sedangkan tidur awal adalah lebih baik sekiranya seseorang itu dapat bangun pada waktu sepertiga malam bagi menyembah Allah, bertahajjud dan mengulangkaji pelajaran.

Pada waktu pagi pula, mahasiswa baru dikejutkan terlalu awal sebelum masuk waktu subuh. Yang Muslim bersedia ke masjid dan yang bukan Muslim pula dengan ceramah pagi dan kegiatan seumpamanya.

Selepas itu, mahasiswa baru ini pula dikejarkan dengan senaman pagi sebelum mendapatkan sarapan dan aktiviti seterusnya. Kebanyakannya dilihat bersifat paksaan dan tidak berasaskan normal sebenar kehidupan warga kampus.

Waktu tidur dan rehat adalah terlalu singkat dan mengganggu keselesaan biologi dan sosial. Apatah lagi, ada mahasiswa yang pertama kali berpisah dengan keluarga dan meninggalkan kampung halaman. Ini jarang diambil kira pihak jawatankuasa minggu suaikenal dan dianggap perkara kecil.

Akhirnya apa yang berlaku, selepas berakhirnya minggu suaikenal, aktiviti yang dilakukan ketika suaikenal itu tidak diamalkan sebagai rutin harian di kampus. Sebaik saja berakhirnya suaikenal, mahasiswa baru akan mula tidur waktu pagi dan tidak lagi ke masjid beramai-ramai seperti dalam minggu suaikenal.

Begitu juga dengan senaman pagi dan sebagainya. Bangun pun sudah lewat dan hanya sesuai dengan waktu kuliah. Ini berlaku kerana apa yang berlaku ketika minggu suaikenal adalah bukan sesuatu yang normal dan bukan realiti sebenar, tetapi hanya dibuat-buat.

Saya berpendapat bahawa apa yang perlu adalah lakukan sesuatu yang benar-benar seperti dunia realiti kehidupan kampus. Perkenalkan cara hidup dan rutin sebenar yang sepatutnya diikuti sebagai seorang mahasiswa normal.

Bagaimana penggunaan perpustakaan, cara mencari bahan di dalam perpustakaan, cara memohon, merujuk bahan, cara belajar dan mengikuti kuliah, perbincangan dengan pensyarah, cara merujuk bahan, pengendalian kuliah, nota artikel dan seumpamanya.

Pada masa sama juga, pihak pentadbiran berkaitan mestilah bersedia dengan kehadiran mahasiswa baru dengan kemudahan sepatutnya. Misalnya pihak perpustakaan mestilah bersedia dengan kad perpustakaan yang terus boleh digunakan bagi meminjam bahan, rujukan dan sebagainya, bukan terpaksa menunggu tiga atau empat minggu selepas pendaftaran dengan pelbagai alasan.

Begitu juga dengan kad pelajar yang mesti terus aktif dan boleh digunakan terus bagi tujuan berkaitan. Jangan cari alasan dengan kekurangan staf dan masalah kekurangan kemudahan tertentu.

Jika universiti di England dan Amerika Syarikat terus dapat aktif kad pelajar dan perpustakaan dalam masa sama, kenapa kita tidak mampu lakukan sebagai negara yang mementingkan akademik dan menuju kepada universiti 'kelas dunia'.

Tenaga dan staf terbabit mesti dipastikan cukup sebelum mahasiswa baru mendaftar agar segala keperluan yang sepatutnya dapat dipenuhi dengan sempurna.

Semoga minggu suaikenal yang bakal dilakukan universiti tempatan dalam seminggu dua nanti akan menjadi landasan awal kepada pemikiran dan memartabatkan kedudukan serta daya fikir mahasiswa.

Universiti adalah jantung pemikiran bangsa dan tamadun. Andainya minggu suaikenal itu cuba memesongkan peranan sebenar mahasiswa dan fungsi sebenar universiti, maka tamadun bangsa akan mula malap.

Andainya ia tidak dibangkit dan diperbetulkan semula, bangsa dan tamadun kita kian lama kian pudar dan universiti akan menjadi tidak ubah seperti pusat latihan kerja yang bakal memenuhi tenaga kerja sebagai mesin dan robot bernyawa.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu

2 comments:

  1. Salam Bad,

    Di UIA pensyarah sentiasa mengingatkan supaya tidur awal, kalau boleh seawal 10malam, area jam dua tiga pagi kita dah rase sangat segar. Tambah lagi bila kerap stay up, otak kita mudah tumpul..nak bangun Subuh time azan pun susah. :D

    Thanks atas perkongsian hasil tulisan pensyarah. :)

    ReplyDelete
  2. masalah tidur lewat di universiti sebenarnya dipengaruhi oleh senior-senior dan sememangnya bukan dari pensyarah.Tapi mengikut kajian UPM, pelajar baharu lebih mengikut@mendengar apa yang diberitahu oleh senior.Dalam hal ini,saya rasa senior @ ahli jawatankuasa minggu suaikenal yang perlu sedar bahawa mereka harus menjadi contoh kepada pelajar yang baru memasuki alam menara gading ini.Tulisan pensyarah ini jelas menuntut pelajar universiti supaya lebih membekalkan persediaan sebenar kehidupan mahasiswa kepada palajar baharu.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails