Sunday, August 31, 2008

Piramid Makanan Baru


Piramid makanan baru (PMB) merupakan satu sistem cadangan pengambilan makanan yang terbaru. Ia dicadangkan berikutan ‘trend’, ‘lifestyle’, ataupun cara hidup yang semakin maju kebelakangan ini.

Jika dahulu, piramid makanan konvensional (PMK) meletakkan ‘bijirin, nasi, gandum, roti dll’ di aras paling bawah (menandakan sebagai makanan yang perlu diambil dengan banyak), PMB pula membawa kelainan. Bahagian dasar PMB ialah ‘senaman yang kerap dan pengawalan berat badan seimbang’.

Aras kedua pula (second level),

pembahagian makanan dikelaskan kepada dua, iaitu ‘makanan bijirin berserat tinggi’ dan ‘minyak sayuran (zaitun, bunga matahari, soya, kacang dan lain lain) serta minyak ikan’. Ini berbeza dengan PMK dimana ia meletakkan ‘sayur-sayuran dan buah-buahan’ di aras kedua.

Aras ketiga (third level)
PMK meletakkan ‘daging, ayam, ikan dan kekacang’ dan ‘susu, yoghurt dan produk tenusu’di aras ketiga, menandakan kelas makanan yang perlu diambil secara sederhana. Berbeza dengan aras ketiga PMB yang meletakkan ‘sayur-sayuran dan buah-buahan’ yang perlu diambil secara pukal (makan dengan banyak).

Di puncak PMK (aras keempat dan terakhir),
makanan yang perlu diambil secara sedikit ialah dalam kategori ‘lemak, minyak dan gula’. Berbeza dengan PMB, aras keempat ialah ‘kekacang’. Diikuti oleh ‘ikan, ayam dan telur’ di aras kelima, ‘produk tenusu’ di aras keenam. Di puncak PMB pula, makanan yang perlu diambil secara sedikit ialah ’daging merah (red meat), mentega, beras putih, roti putih, kentang, pasta dan gula’

Mengapa ia diubah sebegitu? Mari kita bincangkan dari perspektif PMB.


PMB meletakkan senaman yang kerap dan pengawalan berat badan yang ideal kerana zaman moden sekarang, kebanyakan orang kurang bersenam. Di samping itu, kadar penduduk obesiti meningkat dengan sangat drastik terutama di negara-negara maju dan negara-negara membangun. Mereka percaya hanya dengan mengikuti cadangan piramid makanan dapat menyihatkan badan tanpa perlu melakukan senaman. Senaman amatlah perlu untuk menjamin dan menjaga kesihatan yang seimbang.

Mengapa makanan yang kaya dengan serat dan minyak sayuran diletakkan di aras kedua PMB? Ini kerana makanan yang kaya dengan serat (dietary fibre) dapat menyingkirkan lemak-lemak berlebihan didalam badan. Ia juga dapat membuang kolesterol yang bahaya dari dalam badan kita. Kolesterol merupakan agen penyebab sakit jantung. Makanan yang kaya dengan serat ialah seperti roti berserat tinggi, beras perang, dan oat.

Minyak sayuran dan minyak ikan pula merupakan sumber asid lemak yang diperlukan oleh badan. Minyak ikan mengandungi omega-3 yang membantu dalam perkembangan minda manusia. Minyak sayuran pula mempunyai asid lemak tak tepu. Asid lemak tak tepu membantu mengurangkan kolesterol yang tidak baik dalam darah yang menyebabkan saluran darah tersumbat lalu membawa kepada masalah jantung. Sumber minyak sayuran adalah seperti minyak kelapa sawit, minyak kelapa, minyak kacang soya dan lain-lain. Minyak kelapa misalnya, mengandungi asid lemak tak tepu berantai pendek. Kajian menunjukkan ia lebih cepat digunakan oleh badan manusia berbanding asid lemak dari minyak yang lain. Selain itu juga ia berupaya melawan virus-virus tertentu seperti HIV dan influenza(penyebab selesema). Oleh itu, ia sangat menyihatkan.

Seterusnya, PMB meletakkan sayuran dan buahan sebagai makanan yang perlu diambil dengan banyak. ini kerana sayuran dan buahan mengandungi vitamin-vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan untuk membekalkan tenaga. Buah-buahan juga mengandungi antioksidan yang boleh mengelakkan diri dari menghidap kanser. Antara antioksidan yang ada dalam buah adalah seperti asid askorbik (vitamin C), polyphenol, dan anthocyanin. Selain itu juga, ia mengandungi serat makanan yang membantu proses penghadaman dan menyihatkan usus perut anda. Sayuran juga mempunyai kelebihan seperti buahan.contoh mineral yang diperlukan oleh badan ialah zat besi, kalsium dan magnesium. Zat besi membantu dalam pembentukan sel darah merah manakala kalsium pula adalah perlu untuk membina tulang dan gigi yang kuat dan sihat. 99% kalsium yang berada dalam badan kita terdapat ditulang dan gigi. Contoh makanan yang mempunyai kandungan kalsium yang tinggi ialah seperti bayam, daun pudina (colgate...)

Kekacang diletakkan di aras keempat pada PMB. Kekacang merupakan antara sumber asid amino yang diperlukan oleh badan. Asid amino ialah monomer protein. Protein selalu diketahui sebagai pembinaan otot dan membantu pembesaran. Tanpa protein, anda akan jadi bantut, lemah badan atau untuk kes yang paling teruk, terencat akal. Asid amino perlu yang dimaksudkan ialah lysine. Sumber kekacang adalah seperti kacang tanah, kacang dhal, kacang hijau dan lain-lain kacang.

Aras seterusnya untuk PMB ialah ikan, ayam dan telur. Makanan-makanan ini mengandungi protein dan lemak serta kalori yang tinggi. Telur umpamanya, mengandungi nilai kolestetol yang sangat tinggi di bahagian kuning telurnya. Manakala produk tenusu si aras seterusnya membekalkan nutrien-nutrien sampingan dan mineral sampingan yang diperlukan oleh badan. Susu mengandungi nilai kalsium yang tinggi, yang sangat diperlukan oleh badan. Recommended Nutrient Intake (RNI atau cadangan pengambilan nutrien) yang ditentukan oleh FDA untuk kalsium ialah 800mg sehari. Contoh makanan untuk produk tenusu ialah seperti yoghurt, susu dan keju.

Aras terakhir untuk PMB ialah daging merah, beras putih yang telah diproses dan roti putih. Kelas makanan ini diletakkan di bahagian teratas kerana kajian menunjukkan pengambilan makanan seperti ini secara berlebihan seperti yang dicadangkan oleh PMK membawa kepada peningkatan kadar penyakit jantung dan obesiti di seluruh dunia. Beras putih contohnya, mengandungi kandungan kanji yang tinggi, yang akan dileraikan didalam badan untuk menghasilkan gula bagi menghasilkan tenaga. Ini akan membawa kepada peningkatan glukosa dalam darah yang akan membawa kepada penyakit yang ditakuti ramai, Diabetis mellitus.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails